Aspek keselamatan projek lebuh raya SUKE dipertingkat
KUALA LUMPUR: Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Klang Sdn Bhd bersama jurutera perunding dan sembilan konraktor yang terbabit dalam projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) menandatangani komitmen Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan (KKP) hari ini.
Majilis menandatangani komitmen itu dianjurkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).
Antara lain, ia bertujuan mendapatkan komitmen semua pihak terbabit dalam pembinaan lebuh raya SUKE.
Komitmen itu juga untuk memberi lebih penekanan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan membabitkan pembinaan Lebuhraya SUKE.
Majlis menandatangani komitmen itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Baru-baru ini, SUKE terpalit dengan beberapa insiden membabitkan keselamtan pekerja dan pengguna jalan raya.
Pada 22 Mac lalu, Jabatan Kerja Raya mengarahkan kerja pembinaan lebuh raya itu dihentikan berikutan sebuah kren “launcher” digunakan dalam projek terjatuh di Persiaran Alam Damai, Cheras.
Kejadian menyebabkan tiga pekerja pembinaan maut, manakala seorang pengguna jalan raya parah apabila dihempap kren berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Muhammad Azlan Abdullah, berkata pihaknya menyambut baik usaha JKKP dan MNKKP dalam memperkuatkan komitmen kontraktor yang terbabit dengan projek SUKE.
“Sebagai pemaju dan pemegang konsesi lebuhraya SUKE, PROLINTAS sentiasa menekankan soal keselamtan sejak hari pertama projek ini bermula. Antara inisiatif yang dijalankan oleh SUKE secara konsisten adalah mengingatkan kontraktor terbabit supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil langkah bersesuaian di tapak pembinaan. Kami melaksanakan sesi pengauditan keselamatan secara berkala, taklimat keselamatan setiap hari sebelum memulakan tugas serta latihan penyelamat kecemasan bersama badan keselamatan berkaitan,” katanya.
Beliau juga berkata, PROLINTAS mengaktifkan pelan pengurusan trafik yang diluluskan pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/803806/aspek-keselamatan-projek-lebuh-raya-suke-dipertingkat