Shahril berkata 18 pakej kerja itu dibahagikan kepada dua kategori – terbuka dan Bumiputera — dan pemohon dinilai berdasarkan beberapa aspek, termasuk keupayaan kewangan, rekod prestasi, pengalaman dan kesihatan dan amalan alam sekitar.
Bagi permohonan usaha sama, beliau berkata penilaian teknikal dan kewangan dijalankan ke atas syarikat individu, dengan jumlah skor mata kewangan dan teknikal mereka digabungkan berdasarkan kepada peratusan ekuiti mereka.
Beliau berkata 28 syarikat yang disenarai pendek itu dipilih daripada antara 195 yang menyerahkan permohonan, selepas dua iklan awam disiarkan.
Antara syarikat yang disenarai pendek bagi semua tiga jenis pakej itu (kerja sivil bahagian atas, stesen dan depot) dalam kategori terbuka ialah Sunway Construction Sdn Bhd, Muhibbah Engineering (M) Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, Gadang Engineering (M) Sdn Bhd dan Loh & Loh Construction Sdn Bhd, katanya.
Sementara itu, dalam kategori Bumiputera ialah Naim Engineering Sdn Bhd, Trans Resources Corporation Sdn Bhd, TSR Bina Sdn Bhd, Ahmad Zaki Sdn Bhd, HRA Teguh Sdn Bhd dan Syarikat Muhibah Perniagaan & Pembinaan Sdn Bhd.
Tender-tender bagi pakej kerja lain akan diumumkan pada masa yang sesuai.
MRT itu yang dianggap projek prasarana terbesar negara sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Greater Lembah Klang, akan menyediakan perkhidmatan tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam sedia ada, dan disepadukan dengan LRT, KL Monerel dan perkhidmatan KTM sedia ada.
Merentasi pusat bandar dari Sungai Buloh ke Kajang, MRT baharu itu akan mempunyai jarak kira-kira 51 km.
Ini termasuk 9.5 km menerusi terowong bawah tanah dengan 27 stesen bahagian atas, tujuh stesen bawah tanah dan depot di Sungai Buloh dan Kajang.
– Bernama
source : https://www.malaysiakini.com/news/172692

