Projek SUKE, DASH lancar
SHAH ALAM: Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) kini sudah memasuki 30 peratus proses pembinaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata pembinaan kedua-dua lebuh raya itu berjalan lancar seperti yang dijadualkan pihaknya.
“Kita setakat ini sudah melengkapkan kira-kira 30 peratus projek pembinaan yang dijalankan sejak 2016 berkenaan.
“Pembinaan dua lebuh raya itu dijangka menepati tempoh untuk disiapkan iaitu pada 2020 nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian acara duathlon pertama di Malaysia membabitkan laluan lebuh raya yang ditutup sepenuhnya di Lebuhraya Guthrie di sini, hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan PROLINTAS, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.
SUKE dan DASH masing-masing membabitkan kos pembinaan RM4.6 bilion dan RM4.1 bilion itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan ibu kota, Jalan Sungai Buloh dan Damansara.
Laluan SUKE sepanjang 24.4 kilometer dengan 14 persimpangan dan DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan bermula dari Puncak Perdana, Seksyen U10 Shah Alam dan berakhir di Persimpangan Penchala.
Kedua-dua lebuh raya itu akan menggunakan konsep ‘elevated highway’ iaitu 90 peratus laluan tidak berada atas permukaan tanah namun dibina atas laluan jalan sedia ada dengan tiga lorong setiap arah.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/09/474193/projek-suke-dash-lancar



Leave a Reply
Want to join the discussion?Feel free to contribute!