Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) mengumumkan pemenang bidaan bagi empat lagi pakej baru pembinaan laluan Sg Buloh – Kajang (SBK) untuk projek My Rapid Transit (MRT) dengan nilai keseluruhan RM3.22 bilion.
Empat pakej baru tersebut dinamakan sebagai Viaduct 1 (V1), Viaduct 4 (V4), Viaduct 7 (V7) dan Depot 1 (DPT1).
Keempat-empat syarikat yang memenangi bidaan itu pula adalah Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak RM1.09 bilion, Sunway Construction Sdn. Bhd. (RM1.17 bilion), MTD Construction Sdn. Bhd. (RM499.98 juta) dan Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. (RM458.98 juta).
MRT Corp dalam satu kenyataan berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas tamatnya mesyuarat Jawatankuasa Pemerolehan Sehenti atau One Stop Procurement Committee (OSPC) hari ini.
Kata kenyataan itu, mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, di Putrajaya.
“Pakej-pakej viaduct melibatkan pembinaan dan penyiapan landasan MRT dan kerja-kerja berkaitan sementara pakej Depot 1 adalah bagi pembinaan Depot Sungai Buloh dan bangunan-bangunan berkaitan,” kata kenyataan tersebut.
Jelas MRT Corp, pakej V1 yang merupakan pakej khusus bumiputra melibatkan kerja-kerja antara Sungai Buloh dan Kota Damansara laluan SBK dan tender ini dimenangi oleh Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan Sdn. Bhd.
Pakej V4, bagi kerja-kerja antara Seksyen 17 di Petaling Jaya dan Portal Semantan dimenangi oleh Sunway Construction Sdn. Bhd.
Portal Semantan adalah lokasi dimana laluan SBK akan memasuki terowong bawah tanah.
Pakej V7 (khusus bumiputera) bagi kerja-kerja di antara Bandar Tun Hussein Onn dan Taman Mesra, kedua-duanya di Cheras telah dimenangi oleh MTD Construction Sdn. Bhd.
Pakej terakhir yang diumumkan OSPC dalam mesyuarat hari ini adalah pakej DPT1 bagi kerja-kerja pembinaan Depot Sungai Buloh Depot.
Tender kategori terbuka ini dimenangi oleh sebuah syarikat bumiputera, Trans Resources Corporation Sdn. Bhd.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, beliau berpuas hati dengan pemberian tender-tender berkenaan selepas tamat mesyuarat OSPC yang buat kali ketiganya dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Pakej Viaduct 5 dan Viaduct 6 pada Januari lalu telah dimenangi IJM Construction Sdn. Bhd. dan Ahmad Zaki Sdn. Bhd. dan juga pakej bawah tanah pada Mac kepada MMC-Gamuda JV,” kata Azhar.
Jelasnya, pengumuman pakej-pakej terbaru ini secara tidak langsung akan meneruskan kemajuan projek laluan SBK ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat yang berjaya dan mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada mereka betapa pentingnya projek ini bukan sahaja kepada bandar raya Kuala Lumpur malah kepada Malaysia,” kata Azhar lagi.
Beliau menambah, seperti sebelumnya, tender-tender yang berjaya dipilih setelah melalui proses penilaian yang rapi, sistematik dan adil oleh OSPC.
Katanya, penilaian tender berdasarkan pelbagai faktor termasuk keupayaan teknikal, kedudukan kewangan dan juga harga bidaan.
Beliau memberitahu, kunci utama pemilihan adalah memilih bidaan bagi memastikan projek ini mendapat input teknikal terbaik daripada kontraktor yang berkeupayaan, namun, memastikan kos pakej berada di dalam jangkaan pihaknya.
Dari segi penjanaan ekonomi, selain daripada peluang pekerjaan, Azhar berkata, sektor pembinaan jelas akan mendapat manfaat daripada pakej-pakej ini.
MRT Corp dijangka akan mengumumkan pemenang pakej-pakej seterusnya di bulan Jun depan.
Original article: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Korporat/20120510/ko_01/MRT-Corp-umum-pemenang-bidaan-bernilai-RM3.22-bilion#ixzz5BipXbfvh


